Friday, May 8, 2009

Mengambil Hati

Ungkapan mengambil hati memberi maksud tindakan yang diambil sama ada melalui perbuatan atau percakapan yang boleh mencetuskan perasaan seronok tanpa menjejas emosi serta saling sayang menyayangi. Ungkapan ini juga kebiasaannya ditujukan kepada orang yang lebih dewasa seperti ibu bapa atau orang tua.

Sebenarnya ungkapan ini harus digunakan kepada semua golongan tidak kira peringkat dan umur kerana ia merupakan salah satu nilai murni dalam kehidupan. Hati ialah jiwa pada diri manusia yang tidak dapat dilihat dari segi fizikal. Jiwa pula amat sensitif terhadap apa yang dilihat, dibaca, didengar, ditonton dan dilakukan. Dari persekitaran dan peristiwa yang dialami seperti sedih, marah, kecewa dan sebagainya hati atau jiwa akan bertukar menjadi tindakan sama ada tindakan itu baik atau buruk.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran seseorang pelajar harus mengambil hati gurunya dan juga rakan-rakannya agar proses pembelajaran ini dapat dilaksanakan secara baik tanpa tekanan.Di antara perlakuan yang harus diberi perhatian untuk mengambil hari guru ialah seperti berikut:

• Hormat: Guru harus dihormati walaupun dalam keadaan yang tidak formal. Pada hakikatnya guru ialah pembimbingan pelajar, walaupun dalam keadaan interaksi yang tidak formal. Manakala dalam bilik darjah pelajar harus menghormati guru dengan cara meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan membuat perkara-perkara yang disuruh.

• Membuat tugasan. Segala tugasan yang diberikan oleh guru harus dilengkapkan sebelum tamat jangka masa yang diperuntukkan. Pelajar yang tidak membuat tugasan bermakna mereka engkar dengan arahan guru.

• Menjauhkan diri daripada perbuatan biadap: Kita juga terdengar terdapat segelintir pelajar yang bertindak liar seperti menyerang guru atau merosakkan harta benda guru disebabkan teguran yang diberikan oleh guru terhadapnya. Sebarang teguran yang diberikan oleh guru kepada pelajar ialah semata-mata untuk memberi pendidikan yang meliputi larangan salahlaku atau dorongan ke arah peningkatan imej dan prestasi diri.

Apabila guru berpuas hati dengan pelajar bermakna pelajar sudah berjaya mengambil hati guru. Mengambil hati bukan bermakna mengambil peluang berbaik dengan guru agar pelajar mendapat ganjaran markah yang tinggi atau untuk tujuan yang lain tetapi untuk mewujudkan satu perasaan seronok dan saling berinteraksi bersama-sama untuk menyelesaikan masalah pembelajaran tanpa menghadapai sebarang tekanan.

Portal Pendidikan Utusan Online

0 pandangan:

Post a Comment