KUALA PILAH 5 Mei - Seramai 10 pelajar yang dipilih menyertai projek perintis Kelab Wartawan Muda berazam menjadikan pengalaman itu sebagai permulaan untuk mencipta karier dalam organisasi media.
Mereka yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Tuanku Muhammad di sini memberitahu, pendedahan berkaitan media cetak dan elektronik serta mendekati individu wartawan, jurufoto dan jurukamera secara dekat memberi banyak faedah. Pelajar tingkatan 4, Amirul Azam Naim, 16 berkata, kerjaya wartawan sama ada media cetak mahupun elektronik kian mencabar dan peluang yang ada akan digunakan untuk mengasah bakat supaya suatu hari nanti dia terpilih menyertai bidang ini.
''Saya gembira apabila dipilih menjadi pelajar perintis dalam projek Kelab Wartawan Muda ini. Ini adalah peluang untuk saya terlibat secara serius, walaupun liputan sekadar di peringkat sekolah," katanya di sini hari ini. Kesemua 10 pelajar itu hari ini diberi pendedahan cara penyampaian berita, rakaman visual, lintas langsung dan suasana bilik berita oleh ahli Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-KWAN).
Mereka juga merupakan pelajar yang terpilih untuk menyertai Kelab Wartawan Muda peringkat Parlimen Kuala Pilah yang akan dirasmikan oleh Ahli Parlimennya, Datuk Hassan Malek, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, di sekolah berkenaan esok. SM Tuanku Muhammad akan menjadi pusat kecemerlangan wartawan muda bagi peringkat Parlimen berkenaan yang akan turut mendapat tunjuk ajar dan bimbingan dari para Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), selain ahli i-KWAN.
Sementara itu, Steafanie Andrew Kanthasamy, 16 pula memberitahu, dia teruja apabila diberitahu terpilih menyertai kelab berkenaan dan tidak sabar untuk belajar dan mendekati golongan profesional ini.''Saya selalu menonton televisyen dan membaca akhbar. Hari ini saya lebih teruja kerana diberi peluang mendekati individu yang membuat berita dan melaporkan kejadian itu.'Saya akan pelajari cara wartawan bekerja, masalah yang dihadapi, cabaran dan sebagainya. Ini adalah pengalaman baru kepada pelajar di sekolah ini," katanya. Rakannya, Soraya Mohd. Ghazali berkata, selain mempelajari dunia kewartawanan, dia juga berpeluang untuk mengetahui berita terkini daripada pengamal media.''Saya percaya, mula saat ini kita akan menghargai jasa wartawan. Saya tidak sabar untuk dibawa ke lokasi sebenar apabila tamat kursus dan bengkel yang disediakan Kelab Wartawan Negeri Sembilan," katanya.
Utusan Malaysia Online
0 pandangan:
Post a Comment